Sunday, June 10, 2012

SRETT... SRETTT... SRETTTT...



Photo credit: russian-untouchables
BERDEPAN DENGAN MAUT


FARIZ tersedar bila berasa tubuhnya dihumban ke atas meja simen. Dia memandang tubuhnya yang tidak berbaju. Lalu terasa yang dia juga tidak berseluar, kecuali seluar dalam! Tangannya sudah terikat dan terkilas ke belakang.
‘Apa dah jadi?’ Fariz tertanya di dalam hati.
‘Sretttttt… Sretttttt… Sretttttt…’
Bunyi itu menangkap telinga dan pandangan Fariz. Matanya mencerlang memandang sebilah parang yang berkilat yang dilenser ke tubir meja simen ini oleh lelaki yang bertubuh rendang itu. Dialah lelaki yang menetak lehernya sebentar tadi. Lelaki itu mengetuk-ngetuk parang itu ke simen meja. Berdenting-denting bunyinya.
Dada Fariz berdegup kencang. Bila tubuhnya ditelanjangkan dan diletak di atas meja simen, Fariz dapat mengagak apakah kesudahannya. Dia tahu apa akan terjadi kerana dia pernah menonton video-video siksaan tawanan di kem latihan BISIK. Situasi begini menandakan yang dia akan dibunuh. Lebih tepat lagi, dia akan disembelih sebagai korban!
“Masanya dah sampai…” tenang sahaja lelaki itu bertutur.
“Sampai? Sampai ke mana?” soal Fariz inginkan kepastian walaupun dia sudah dapat mengagak maksud lelaki itu.
 “Kamu orang Islam… mengucap sahajalah…” kata lelaki itu sambil melurut mata parangnya dengan ibu jari.
“Wei! Apa ni?” pekik Fariz spontan.
Fariz segera meronta-ronta untuk bangun. Tetapi dia terasa ada tangan-tangan yang menangkap tubuhnya. Dia menggelupur. Cuba untuk melepaskan dirinya. Namun, tangan-tangan yang menekan tubuhnya semakin kuat menghenyak. Malah, paha, pinggang dan bahunya dipukul berkali-kali hingga Fariz terasa tubuhnya kebas.
Akhirnya Fariz keletihan. Dalam keadaan pandangannya yang berpinar, Fariz nampak empat wajah-wajah yang menekan tubuhnya memandangnya dengan mata terbelalak. Dia terasa dirinya seperti bermimpi. Mimpi buruk yang mengerikan.
‘Inikah kesudahan aku? Apa sebab aku tiba-tiba disiksa begini? Aku tidak tahu apa-apa mengenai Tuan Aziz atau Khunpol Rachotai. Sebenarnya aku tak perlu disiksa sampai begini. Seharusnya mereka tangkap sahaja Tuan Aziz di Putrajaya. Habis cerita. Mengapa mereka siksa aku begini sekali? Sungguh tak maksud akal! Gila! Ya, mereka ini semuanya gila!’
“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…” Fariz melaung. Melontarkan suaranya. Menggaung dan menggema di sekitar kawasan berbatu ini.
Fariz terasa pandangannya gelap bila kepalanya disarung dengan kain guni berwarna hitam. Tali yang mengikat mulut kain itu terus dijerut ke lehernya. Untuk seketika, dia tercekik kerana tidak dapat bernafas. Fariz ditelentangkan. Dada Fariz semakin berdegup kencang. Peluh sudah membasahi tubuhnya yang telanjang.
Dia memekik panjang hingga suaranya serak. Tanpa disedari, air matanya mengalir deras. Biarlah. Ajalnya sudah sampai kali ini. Sebagai seorang ejen perisik dia rela mati demi negara. Cuma, dia tidak mengerti apakah nilainya sebagai ejen hingga hendak dibunuh seperti ini. Bukankah mudah kalau dia ditembak sahaja?
“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…”
“Jangan susah hati, kawan. Mati hanya sekali!”
Suara yang perlahan itu membuatkan Fariz terhenti meraung. Tiba-tiba dia teringatkan ALLAH. Tuhan yang menghidupkannya. Tuhan yang mematikannya. Ya Muhyi, Ya Mumiit!
Tiba-tiba telinganya tidak mendengar apa-apa. Yang tinggal hanya bunyi desingan di dalam telinga. Sayup-sayup dia terdengar suara lelaki itu memerintah agar mereka yang lain terus memegang tubuhnya kerana dia hendak melaksanakan tugasnya.
Fariz mula terasa lehernya sejuk disentuh mata parang. Fariz menahan nafas. Airmatanya seolah-olah terus terhenti. Bulu roma di seluruh tubuhnya terasa berdiri. Dia harus sabar menerima hukuman. Dia harus reda dengan ketentuan. Dia harus pasrah menghadapi mati. Demi Tuhan yang menjadikannya. Dia sudah bersedia untuk mengucap sebaik sahaja terasa lehernya dihiris!
Fariz terasa mata parang yang sejuk menyusur di lehernya. Dia menahan nafas. Menanti rasa pedih dan sakit mengiringi. Sungguh. Dia sudah bersedia untuk mati. Mati untuk bertemu dengan Illahi. Mata parang sudah terangkat daripada lehernya. Rasa bisa akan mengiringi seketika lagi. Fariz menunggu rasa sakit itu. Sesaat… dua saat… tiga saat…


DETIK DEBAR kini sudah berada di pasaran.
Dapatkan di kedai-kedai berhampiran atau
layari http://www.wayangminda.com
untuk pesanan online.

No comments:

Post a Comment