Sunday, June 10, 2012

DO YOU KNOW WHO I AM?



Photo credit: idiotflashback.com

TIBA-TIBA LAMPU TERPADAM

SUASANA di disko ini menjadi terang benderang. Muzik serta merta terhenti. Para pengunjung terjerit-jerit marah. Tetapi hanya seketika. Sesaat kemudian, para pengunjung kedengaran terjerit-jerit ketakutan pula.
“Semua duduk! Jangan ke mana-mana!” kedengaran suatu suara lantang dan parau.
Spot check!” bisik seseorang berhampiran.
Para pengunjung mula menggelabah. Baru mereka sedari akan serbuan dan pemeriksaan pihak berkuasa. Beberapa orang cuba melarikan diri keluar tetapi langkah mereka mati bila menyedari pintu masuk sudah dihadang oleh anggota polis.
Seorang lelaki berbadan tegap cuba bersikap kasar. Dia menengking-nengking anggota polis. Bila dia dijerkah oleh pegawai polis berpangkat Deputi Supritendan yang mengetuai serbuan, baharulah dia menikus.
Melihatkan keadaan itu, para pengunjung yang lain terus terundur-undur dan berhimpit-himpit. Masing-masing cuba menjauhkan diri daripada anggota keselamatan yang memeriksa. Cuba mengelak daripada dipanggil dahulu untuk pemeriksaan.
Fariz mula suspens apabila melihat Jennifer melangkah keluar daripada barisan.
Seorang anggota polis menahannya. Namun Jennifer menepis bila anggota polis itu cuba memegang lengannya. Fariz tahu perangai gadis wartawan itu. Kalau dia tidak menjaga tingkahlakunya, pasti gadis itu akan ditangkap dan dibawa ke balai.
“Awak tiada hak untuk menangkap saya!”
Pekikan Jennifer menarik perhatian orang lain. Masing-masing menumpukan perhatian terhadapnya. Anggota polis itu cuba menenangkan Jennifer. Namun gadis itu bertindak kasar. Dia membentak-bentak.
Fariz mula gelisah. Dia mencari akal bagaimana hendak menyelamatkan gadis itu daripada ditangkap kerana cuba menghalang pihak polis menjalankan tugas mereka. Kemarahan Jennifer sudah tidak boleh ditahan-tahan.
Pegawai polis yang berpangkat Deputi Superitenden dipanggil anggotanya. Lelaki tegap dan bermisai melintang itu segera tampil. Dia bercakap perlahan kerana ingin menenangkan suasana. Tetapi Jennifer masih berkeras. Membuatkan pegawai itu tergeleng-geleng bosan.
Akhirnya, pegawai polis itu menggamit pegawainya. Tanpa berlengah-lengah lagi seorang anggota polis tampil membawa sepasang gari. Jennifer semakin menyinga. Suaranya kuat kembali mengisi ruang disko itu.
Hey! What do you think you’re doing? Do you know who I am? Do you? I have the right to make one phone call… I have the right to remain silent. And I have the right to…
Tiba-tiba lampu terpadam!
KEDENGARAN jeritan ketakutan ramai pengunjung wanita. Dalam suasana yang gelap itu, masing-masing mula berhimpit-himpit ke satu arah. Masing-masing juga tidak tahu ke mana hendak dituju. Hanya naluri mereka yang memandu mengikut gerak tubuh orang yang di hadapan. Bagai orang buta yang hanya menurut tanpa soal.
Jerkahan Deputi Supritendant agar mereka tidak bertolak-tolak sudah tidak dipedulikan. Jennifer juga begitu. Tidak suka terperangkap begini. Baginya, dia perlu memboloskan dirinya. Dia tidak takut akan situasi sebegitu.
Di wilayah Palestin, keadaan gawat seperti itu seringkali diharunginya. Insiden ditawan tentera Israel, dikepung pejuang Palestin atau menyelamatkan diri dalam hujan peluru sudah menjadi sebahagian daripada skrip kehidupannya sebagai wartawan perang. Justeru itu, dalam diam-diam dia berundur menjauhi kelompok yang berkerumun di bahagian tengah dewan disko itu. Berkira-kira untuk lari dari situ.
This way,” bisik satu suara. Belum pun sempat dia menoleh, Jennifer terasa tangannya ditarik.
I’m not going anywhere! Who are you? Some kind of a pimp?” bantah gadis itu seraya merentap tangannya.
Fariz tergamam mendengar kata-kata Jennifer. Jantung hatinya tersentap. Marahnya menyirap naik ke muka.
Do I look like one, Miss Jennifer Miles, business reporter from WorldLiveLine… come on!”jawab Fariz dengan nada sinis dan geram.
Bila mendengar nama dan identitinya disebut, naluri gadis itu berbisik yang dia harus mempercayai orang yang masih memegang lengannya. Tanpa berlengah-lengah lagi, Jennifer mengekori Fariz.

No comments:

Post a Comment