Monday, November 21, 2011

VROOOOOOOOOOOMMMMMMMM!



Photocredit: dailyventure.com

SUARA DARI SELEKOH

“VROOOOOOOMMMM…” sebuah kereta menjelma dari selekoh dan meluncur laju.
Pemerhatian Fariz teralih ke sebuah kenderaan pacuan empat roda yang muncul mendadak dari selekoh di belakangnya. Kelajuannya membuatkan ia menggelongsor di selekoh bagai aksi drift lagaknya.

Fariz Zafar. Pemuda tegap berusia 23 tahun ini adalah seorang ejen perisik. Sudah hampir setahun bertugas dengan Biro Risikan Negara atau BISIK. Ketangkasannya mengendalikan misi dalam mengekang penaklukan penjajah ekonomi ke atas syarikat-syarikat di Malaysia tidak lama dahulu menerima pujian dari pihak atasan. Kini, dia ditugaskan untuk mengendalikan misi kedua.

‘Tam! Tam! Tam!’

Bunyi letupan senjata api mengalih lamunan Fariz ke situasi kini dan saat ini. Dadanya mula berdebar kencang. Suara hatinya berkata yang dia kini dalam bahaya! Ya. Kenderaan di belakangnya ini bukan muncul secara kebetulan. Tetapi ia mendatang secara terancang!

‘Tam! Tam! Tam!’

Kedengaran cermin belakang keretanya pecah berderai. Fariz tak menoleh. Sebaliknya, dia menarik nafas. Tubuhnya dikeraskan. Pemegangannya di stereng dikejapkan. Tapak kakinya terus menekan pedal minyak hingga jejak ke lantai kereta. Lalu kenderaan empat rodanya meluncur semakin laju. Pandangannya kini tertumpu ke hadapan. Mengecam struktur jalan. Ekor matanya mengimbas di kiri dan kanan jalan. Mana tau ada kenderaan lain pula yang muncul untuk menyekat kenderaannya.

Oleh kerana cermin sisinya sudah ghaib dihentam peluru, pandangannya terus teralih ke cermin pandang belakang yang terletak berhampiran dengan kepalanya. Dia memerhati kereta di belakangnya.

“Oh, ada dua orang rupanya,” Fariz tersenyum sendirian bila ternampak kelibat dua orang manusia di dalam kereta di belakangnya. “Lagi ramai, lagi bagus” gumam Fariz.

Melalui teori latihan yang dipelajarinya, jika terdapat lebih daripada seorang di dalam sesebuah kenderaan dalam situasi kejar mengejar, kebarangkalian kesilapan di pihak yang mengejar adalah lebih besar.

Dalam keadaan yang cemas, tumpuan si pemandu akan terganggu dengan desakan dan arahan-arahan spontan rakan yang ada di dalam kenderaan itu. Perintah, komen atau kritik orang di sebelah akan mengganggu konsentrasi si pemandu, kerana masing-masing akan memberi reaksi spontan dalam suasana yang cemas itu! Kesilapan boleh terjadi kerana kenderaan yang punyai lebih ramai penumpang bererti lebih ramai yang ingin jadi ‘pemandu.’ Seperti sebuah kapal yang ramai nakhoda!

Fariz tahu yang dia boleh menghuru-harakan kereta yang mengejarnya. Pada setiap selekoh dia akan menggunakan kecekapannya untuk membrek, memecut serta mengacah kenderaan di belakang. Bila dia di hadapan, dia akan nampak segala lopak atau lubang di permukaan jalan yang boleh digunakannya sebagai perangkap.

‘Tam! Tam!’

Khayalan Fariz dikejutkan lagi dengan bunyi tembakan. Dia mencapai pistol yang sudah lama terletak di kerusi sebelahnya. Fikirannya berputar. Mencongak-congak bagaimanakah cara dia hendak menoleh dan menembak kereta yang mengejarnya itu. Dia bukannya James Bond yang boleh membedil hingga 20 das tanpa kehabisan peluru! Ini realiti. Untuk menembak pun, dia harus berpaling. Dengan kelajuan yang kini mencapai 160 kilometer sejam, tembakan dengan menggunakan sebelah tangan mungkin tersasar. Dan, keretanya boleh terbabas!

‘Tam! Tam! Tam! Tam!’

Bunyi peluru berdesir di kiri dan kanannya membuatkan darah Fariz menyirap! Secara spontan, dia mengepal pistolnya kemas-kemas lalu berpaling untuk menembak! Tetapi gerakannya terkaku bila mendapati kenderaan pacuan empat roda yang mengekorinya sudah berada jauh kira-kira 50 meter di belakang kerana dipandu perlahan. Seperti enggan mengekori keretanya lagi.

‘Apa muslihat dia orang pulak?’ Fariz tertanya-tanya di dalam hati.

‘Ponnnnnnnnnnnnnnnnnnn…'

Bunyi hon kenderaan yang membingitkan membuatkan Fariz menoleh kembali ke hadapan. Matanya terbuntang bila terpandang kemunculan sebuah treler. Semakin mendekat, bentuknya semakin membesar. Bagai raksaksa yang mendatang! Dengan tergopoh-gapah, Fariz terus menekan brek secepat dan sekuat hatinya.

“ALLAHuakbarrrrrrr…” takbir Fariz sekuat hatinya bila treler itu kian menghampiri. Dia sudah bersedia menghadapi impak pertembungan keretanya dengan treler itu.

DETIK DEBAR kini sudah berada di pasaran.
Dapatkan di kedai-kedai berhampiran atau
layari http://www.wayangminda.com
untuk pesanan online.